
KUCHING, 16 Januari – Laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jasad pasangan suami isteri yang ditemukan maut di Sri Aman mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat tikaman di bahagian leher dan dada, manakala motif kejadian masih dalam siasatan polis.
- Bedah siasat mengesahkan kedua-dua mangsa maut akibat tikaman di leher dan dada.
- Mangsa lelaki mengalami 11 kecederaan akibat objek tajam pada leher dan dada.
- Mangsa perempuan disahkan mati akibat tikaman pada bahagian leher.
- Motif kejadian masih dalam siasatan; 21 saksi telah direkodkan keterangan.
Siasatan berhubung kes bunuh melibatkan pasangan suami isteri di Sri Aman, masih diteruskan secara menyeluruh dan terperinci.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah dijalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak, semalam.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa lelaki mengalami 11 kecederaan akibat objek tajam melibatkan bahagian leher dan dada, dengan punca kematian disahkan sebagai ‘Neck and Chest Injuries Due To Stab Wounds’.
“Manakala mangsa perempuan pula mengalami luka tikaman di bahagian leher dan sebab kematian disahkan sebagai ‘Neck Injury Due To Stab Wounds’,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, 21 orang saksi telah dirakamkan keterangan, yang terdiri daripada ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja mangsa.
Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.