MELAKA, 3 Januari - Beberapa sekolah rendah di Parlimen Alor Gajah, Melaka akan mempunyai ‘Green Lab’ atau makmal hijau bagi memberi pendedahan awal mengenai pendidikan digital.
Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sekolah yang terlibat akan dilengkapi dengan perisian dan perkakas teknologi yang lengkap.
Beliau berkata murid akan diberikan pendedahan berkaitan keselamatan teknologi digital bagi membantu memupuk kesedaran dan kreativiti murid.
"Jadi model Green Lab kita adalah kita sediakan hardware dan juga software bagi pendidikan digital di peringkat sekolah rendah.
"Mereka boleh meghasilkan video-video kreatif, boleh belajar jadi pempengaruh dan dalam masa yang sama yang paling penting adalah mereka faham tentang apa dunia digital dan bagaimana mengaplikasi.
"Dengan cara ini sebenarnya anak-anak sekolah rendah lagi sudah boleh mendidik, juga ibu bapa kadang-kadang ibu bapa mungkin tertinggal... jadi anak-anak lebih berpengetahuan.
"Ini penting bagi kita kerana bagi saya kalau pendidikan awal itu diberikan, mereka akan ada keupayaan dan dalam masa yang sama kita mahu celik digital. Ini penting kerana pengetahuan kepada digital ini juga boleh mengekang daripada isu-isu scam dan seumpamanya", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 di Pulau Sebang, Melaka.
Dalam program berkenaan, seramai 500 murid dan pelajar menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang bagi membeli kelengkapan persekolahan.
