fb fb fb fb fb

Beberapa kampung di Daerah Baling dilanda banjir kilat

Foto APM Daerah Baling

BALING, 5 Disember- Hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam petang tadi menyebabkan beberapa buah kampung di Daerah Baling, Kedah dilanda banjir kilat.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hasil pemantauan yang dilakukan oleh anggota APM mendapati, hujan lebat di kawasan hulu menyebabkan alur sungai Baling tidak mampu menampung kuantiti air hujan yang banyak, menyebabkan air melimpah ke rumah di beberapa buah kampung di dua mukim.

Mukim Kupang melibatkan Kampung Seberang Jaya, Kampung Tanjung dan Kampung Bendang Padang.

Turut terlibat, Kampung Sadek dan Kampung Iboi yang pernah menggemparkan negara tahun lalu apabila dilanda kepala air atau banjir puing yang mengorbankan tiga nyawa, manakala 15 rumah musnah dan 800 lagi terjejas.

Sementara itu, di Mukim Bakai melibatkan Kampung Badang. Jumlah penduduk yang terjejas dan rumah yang terlibat dalam kejadian masih dalam proses bancian.

Katanya, setakat pukul 10.00 malam ini, air sudah mulai surut dan penduduk sedang giat membersihkan rumah masing-masing.

Pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

ROSLINA BINTI DIN