fb fb fb fb fb

Beberapa jalan di Pulau Pinang ditutup mulai esok sempena Thaipusam

FOTO FAIL

GEORGE TOWN, 23 Januari - Mulai 12.01 tengah malam esok hingga Jumaat beberapa laluan utama di sekitar George Town akan ditutup secara berperingkat sempena perayaan Thaipusam.

Ia melibatkan Jalan Kebun Bunga, Jalan Gotlieb, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Utama, Jalan Mecalister, Jalan Victoria dan Lebih Cambell.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner (ACP) Razlam Ab Hamid berkata, penutupan jalan itu bagi memberi laluan perarakan pedati emas dan perak dalam memastikan kelancaran pergerakan dengan melalui 12 laluan utama.

Menurutnya, pedati emas akan mula bergerak pada pukul 5.30 pagi Rabu ini bermula dari Lebuh Queen hingga ke Kuil Air Terjun.

Sementara itu, pedati perak pula akan mula bergerak sejam kemudian dari Lebuh Penang ke Kuil Air Terjun.

Bagi perjalanan balik, pedati emas akan bergerak pukul 6.00 petang Jumaat ini, manakala pedati perak pukul 7.00 malam iaitu sejam kemudian.

"Pihak polis menasihati orang awam supaya merancang perjalanan serta menggunakan alternatif agar tidak terperangkap dalam kesesakan selain disaran menggunakan lebih menggunakan kenderaan atau pun pengangkutan awam," kata Razlam, di sini.

Selain itu, polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak memakai barang kemas berlebihan yang boleh menyebabkan tarikan penjenayah dan mengundang ketidakselesaan orang sekeliling.

Seramai 1,289 pegawai dan anggota polis bertugas sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang upacara berlangsung.

Dijangkakan lebih 1 juta pengunjung akan berada di Pulau Pinang sepanjang perayaan berkenaan.

TETITIA YUSOFF