
KUALA LUMPUR, 27 Mac– Cadangan pelaksanaan kerja lebih anjal termasuk bekerja dari rumah (BDR) dilihat sebagai langkah proaktif mengurangkan kesan gangguan bekalan minyak dunia susulan konflik di Asia Barat.
- BDR mengurangkan pergerakan harian pekerja serta menjimatkan kos minyak, tol dan parkir.
- Ia bertindak sebagai mekanisme perlindungan sosial yang menyokong kesejahteraan serta keseimbangan kerja dan keluarga.
- Pelaksanaan BDR mengurangkan penggunaan bahan api, meringankan tekanan subsidi serta merangsang perkembangan ekonomi digital dan sektor ICT.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, pendekatan itu mampu mengurangkan tekanan kos serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“BDR mengurangkan pergerakan harian pekerja sekali gus membantu menjimatkan kos seperti minyak, tol dan parkir.
Kaedah itu juga boleh dianggap sebagai mekanisme perlindungan sosial yang menyokong kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, BDR turut membantu meningkatkan keseimbangan antara kehidupan kerja dan peribadi kerana pekerja mempunyai lebih masa bersama keluarga.
Menurutnya, pengurangan penggunaan bahan api dan fasiliti secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan terhadap subsidi kerajaan serta kos tenaga negara.
“Pelaksanaan BDR turut merangsang perkembangan ekonomi digital.
Peralihan kepada sistem kerja dalam talian meningkatkan permintaan terhadap teknologi digital, platform komunikasi dan perkhidmatan internet,” ujarnya lagi.
Perkembangan itu membuka peluang kepada sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk berkembang serta memperkukuh daya saing ekonomi negara.