KUALA LUMPUR, 15 Februari- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak tanggapan pihak tertentu yang mendakwa sewa rendah dikenakan kepada peniaga bazar Ramadan tahun ini, akan memberi kesan kepada penyelenggaraan lokasi perniagaan itu dengan baik dan terurus.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menegaskan DBKL sebagai badan kerajaan mempunyai peruntukan tertentu bagi membantu dan memastikan program itu berjaya dan berlangsung dengan baik.
"Kita mempunyai dua peringkat bazar, iaitu bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.
"Kedua-duanya bukan sahaja kita memberi lesen secara langsung kepada peniaga, malah daripada sudut penyelenggaraan akan dilaksanakan oleh DBKL sendiri.
"Kita juga bekerjasama dengan badan-badan korporat yang memberi sokongan penuh kepada usaha ini, serta membuka ruang kepada mereka yang berminat untuk berniaga," katanya ketika hadir merasmikan Karnival sukan sempena sambuatan Hari Wilayah Persekutuan 2025 di sini.
Jelasnya lagi, DBKL dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan senarai peniaga.
"Setakat ini hanya tinggal 20 hingga 30 peratus kekosongan daripada kira-kira 3,000 tapak lot yang masih belum diisi dan penyertaan masih dibuka kepada peniaga yang berminat," katanya lagi.