
JOHOR BAHRU, 20 Februari – Pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) diperluas ke 116 lokasi di seluruh negara tahun ini.
- BRR diperluas ke 116 lokasi seluruh negara untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat sepanjang Ramadan.
- Juadah ditawarkan pada harga RM5 ke bawah dengan penyertaan kira-kira 3,000 peniaga dan kad diskaun Menu Rahmah.
- Inisiatif i-FB menyelamatkan kira-kira 69,000 kg lebihan makanan, mengurangkan pelepasan 129,020 kg gas rumah hijau.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata inisiatif itu merupakan kesinambungan usaha kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat sepanjang Ramadan.
Beliau berkata BRR menyediakan juadah berharga RM5 dan ke bawah dengan penyertaan kira-kira 3,000 peniaga.
Jelasnya, program tersebut bermula pada tahun 2023 dengan hanya 41 BRR, sebelum meningkat kepada 62 lokasi pada 2024 dan 103 lokasi, tahun lalu.
“Sambutan menggalakkan itu bukti kesedaran dalam kalangan peniaga meningkat bagi membantu menangani kos sara hidup. Pertama dalam kalangan peniaga-peniaga kita percaya kepada berkongsi rezeki dan percaya walaupun untungnya sedikit tetapi mereka mendapat keberkatan.
“Kita tawarkan kad diskaun Menu Rahmah dimana sepanjang mereka menawarkan juadah dengan harga Rahmah mereka boleh mendapatkan dan membeli di mana-mana jualan Rahmah dengan harga diskaun,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah di sini.
Beliau turut menggalakkan peniaga memperbanyak juadah merangkumi pelbagai kategori makanan bagi memastikan setiap lapisan pengunjung mempunyai akses kepada pilihan juadah pada harga mampu beli.
Dr Fuziah turut memaklumkan kira-kira 69,000 kilogram (kg) lebihan makanan dianggarkan bernilai RM833,000 diselamatkan di BRR pada tahun lepas menerusi inisiatif MySaveFood yang kini dijenamakan sebagai Ihsan Food Bank (i-FB).
Langkah itu sekali gus mengelakkan pelepasan lebih 129,020 kg gas rumah hijau ke atmosfera.