Bazar Ramadan KL berkonsep karnival, libat 42 lokasi

Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim/RTM

KUALA LUMPUR, 20 Februari – Penganjuran bazar Ramadan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tahun ini tampil dengan pendekatan lebih tersusun dan sistematik, melibatkan 42 lokasi serta hampir 4,500 peniaga kecil Melayu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran bazar Ramadan kini lebih tersusun dan sistematik melibatkan 42 lokasi serta hampir 4,500 peniaga kecil Melayu.
  • Konsep karnival meningkatkan nilai komersial di lokasi utama seperti TTDI, Jalan Raja Alang dan Taman Melati.
  • Penekanan pada integriti peniaga: harga berpatutan, kualiti makanan terjamin dan kebersihan diberi keutamaan.

Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, kerjasama erat antara PMKL dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membolehkan pengurusan tapak dilaksanakan dengan lebih teratur berbanding tahun sebelumnya.

“Tahun ini kita lihat bazar Ramadan berada pada tahap lebih tinggi dan berubah kepada konsep karnival, sekali gus meningkatkan nilai komersial di setiap lokasi,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, hari ini.

Menurut Gulam Muszaffar, antara lokasi yang mempunyai nilai komersial tinggi termasuk Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Jalan Raja Alang, Flat PKNS Jalan Kuching, Taman Melati di Wangsa Maju dan Seksyen 1 yang saban tahun menjadi tumpuan pengunjung.

Tambahnya, perubahan itu bukan sahaja melibatkan aspek susun atur dan pengurusan tapak, malah pendekatan peniaga yang semakin profesional sepanjang Ramadan.

“Bazar Ramadan kini bukan lagi sekadar perniagaan kecil-kecilan, sebaliknya menjadi platform ekonomi bermusim yang signifikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga supaya mengekalkan integriti dengan memastikan harga berpatutan, kualiti makanan terjamin serta aspek kebersihan diberi keutamaan.

Beliau berharap penambahbaikan yang dilaksanakan tahun ini dapat diteruskan bagi memastikan bazar Ramadan di ibu negara terus berkembang sebagai platform ekonomi yang berdaya saing dan berintegriti.