fb fb fb fb fb

Bazar Ramadan, Aidilfitri di Sungai Petani akan ditambah baik

SUNGAI PETANI, 31 Mac- Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Sungai Petani akan ditambah baik dengan tersusun dan teratur pada tahun depan.

Ini berikutan perkhidmatan bazar itu mempunyai dua sesi iaitu petang dan malam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya akan berbincang bersama-sama penyewa, peniaga dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) bagi tujuan berkenaan.

"Tapi apa yang paling penting kita akan cuba berbincang dengan pihak majlis agar bazar Ramadan perlu teratur, itu paling penting.

"Sekiranya perlu ditambah, kita akan tambah mengikut kesesuaian tapak yang disediakan tetapi ia perlukan perbincangan yang menyeluruh daripada semua pihak," katanya selepas menyampaikan sumbangan Program Ihya Ramadan kepada 38 masjid di bawah Parlimen Sungai Petani di sini.

Katanya, Sungai Petani mempunyai bazar Ramadan terpanjang dan terbesar di negara ini yang terletak di Taman Ria.

Manakala, bazar Aidilfitri yang menjadi tumpuan orang ramai adalah sekitar Dataran Jam Besar termasuk 'uptown' di Jalan Merbok, Sungai Petani.

Tambahnya, bazar sekitar Sungai Petani  seringkali menjadi tumpuan masyarakat negeri Kedah untuk membeli barangan keperluan terutama ketika Ramadan dan Aidilfitri.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM