
KUALA LUMPUR 23 Februari – Batuk berlarutan lebih dua minggu bukan sekadar batuk biasa, sebaliknya boleh menjadi petanda awal jangkitan tuberkulosis (TIBI) yang masih menular dalam komuniti dan merebak melalui udara.
- Batuk berlarutan lebih dua minggu boleh petanda awal jangkitan tuberkulosis yang menular melalui udara.
- TIBI boleh sembuh dengan rawatan antibiotik lengkap; tempoh minimum rawatan enam bulan.
- Hentikan ubat awal boleh menyebabkan bakteria kebal dan perlukan rawatan lebih panjang serta ubat lebih kuat.
- Golongan berisiko tinggi perlu saringan awal; sokongan keluarga penting untuk memastikan rawatan lengkap.
Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Dr Suzana Mohd Hashim berkata, TIBI ialah penyakit berjangkit kronik yang disebabkan bakteria mycobacterium tuberculosis dan menyerang paru-paru.
Beliau berkata bakteria itu boleh tersebar apabila pesakit yang belum menerima rawatan batuk, bersin atau bercakap dalam jarak dekat dengan individu lain.
“Gejala utama termasuk batuk melebihi dua minggu, demam berpanjangan, hilang selera makan, susut berat badan dan dalam kes lebih serius, batuk berdarah. Pemeriksaan awal sangat penting bagi mengelakkan penularan,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.
Jelas beliau, walaupun TIBI berkembang secara perlahan dan mengambil masa untuk menunjukkan tanda, penyakit itu boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan antibiotik yang dipatuhi mengikut tempoh ditetapkan.
Dalam masa sama, tempoh minimum rawatan ialah enam bulan dua bulan fasa intensif untuk membunuh bakteria aktif dan empat bulan fasa lanjutan bagi memastikan bakteria yang ‘tersembunyi’ turut dihapuskan.
Dr Suzana menegaskan, pesakit tidak boleh menghentikan ubat walaupun sudah berasa sihat kerana tindakan itu boleh menyebabkan bakteria menjadi kebal dan memerlukan rawatan lebih panjang serta ubat lebih kuat.
Golongan berisiko tinggi termasuk ahli keluarga serumah, individu yang bekerja dalam ruang tertutup, warga emas, kanak-kanak serta golongan yang mempunyai imuniti rendah seperti pesakit HIV dan diabetes tidak terkawal.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak meminggirkan pesakit TIBI kerana sokongan keluarga amat penting bagi memastikan rawatan dihabiskan sepenuhnya.
“Dengan rawatan lengkap dan pemantauan rapi, penularan boleh dikawal dan dihentikan,” jelasnya.
“Vaksin BCG yang diberikan kepada bayi membantu mencegah jangkitan teruk dalam kalangan kanak-kanak, manakala bagi orang dewasa, langkah terbaik ialah menjalani saringan awal jika bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap simptom dan mendapatkan pemeriksaan segera demi melindungi diri serta komuniti daripada risiko jangkitan TIBI.