KUALA LUMPUR, 12 Januari- Sambutan perayaan Thaipusam akan dibatalkan sekiranya terdapat penularan COVID-19 di mana-mana kuil terlibat.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pihak pengurusan kuil perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan penganut hindu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan.
"Saya nak maklumkan bahawa saya telah membentangkan cadangan SOP Thaipusam dalam Mesyuarat Kuartet sebelumnya.
"Dalam masa sama, saya telah dinasihatkan oleh Jawatankuasa Kuartet untuk turun padang bersama pengurusan kuil yang ada, saya bersama Datuk Ketua Setiausaha kementerian, Ketua Polis Daerah, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Majlis Keselamatan Negara akan membuat pemantuan," jelasnya dalam sidang media di ibu negara.
Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bilangan 1 Tahun 2022 menetapkan SOP Perayaan Thaipusam dilaksanakan bermula pada 16 hingga 19 Januari 2022 dan hanya upacara membawa Paal Koodam bermula awal pada 14 hingga 19 Januari 2022.
SOP upacara sembahyang dan perarakan pedati adalah berbeza di antara kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves dengan 4 kuil lain iaitu di Pulau Pinang dan Perak.
Beberapa peraturan baharu juga ditetapkan iaitu membawa kavadi, pembukaan gerai jualan sementara dan sumbangan makanan adalah tidak dibenarkan.