fb fb fb fb fb

Bas rempuh treler: Pemandu tersepit, empat penumpang cedera

Sebuah bas ekspres merempuh bahagian belakang treler di Kilometer 290 Lebuh Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi/Foto JBPM

IPOH, 31 Mei - Seorang pemandu bas tersepit dan empat penumpang cedera apabila sebuah bas ekspres yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 290 Lebuh Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum anggota memberi rawatan awal.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai menerima panggilan kejadian pada pukul 5.16 pagi tadi.

"Semasa kejadian, bas terbabit membawa 25 penumpang termasuk tiga kanak-kanak perempuan dan seorang bayi lelaki.

"Insiden berlaku selepas bas berkenaan hilang kawalan dan melanggan bahagian belakang treler," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans.

Sementara itu, mangsa yang terselamat dan tidak cedera dihantar ke destinasi yang dituju menggunakan bas ekspres yang lain.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 6.45 pagi yang turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng,'' tambahnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN