fb fb fb fb fb

Bas Rapid KL terbakar, tujuh penumpang selamat

Foto FB JBPM KL

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Tujuh penumpang sebuah bas Rapid KL, berdepan detik cemas apabila bas dinaiki, terbakar di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, Mohd Suhaimi Mohd Razali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.06 pagi.

"Seramai 16 anggota bersama enam jentera bomba dari BBP Hang Tuah dan Seputeh digerakkan ke lokasi kejadian. Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan ke Jalan Klang Lama," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kejadian disedari seorang penunggang motosikal yang memaklumkan kepada pemandu bas berkenaan, terdapat kebakaran di bahagian belakang kenderaan itu.

Pemandu bas seterusnya menghentikan kenderaan di bahu jalan dan mengarahkan semua penumpang turun ke lokasi selamat serta sempat mematikan enjin dan memadamkan segala suis terlibat.

"Bas tersebut, 90 peratus musnah dan punca kejadian masih disiasat," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN