fb fb fb fb fb

Bas.MY Ipoh dilancar, tambahan laluan ke Kuala Kangsar, Kampar

Anthony Loke Siew Fook/ BERNAMA

IPOH, 24 Februari- Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) Bas.MY Ipoh dilancarkan hari ini dengan peruntukan RM13.17 juta setahun atau RM65.85 juta bagi tempoh lima tahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu bertujuan menambah baik sistem pengangkutan selain membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Untuk perkhidmatan di Ipoh kita telah memperluas lagi kawasan hingga ke Kuala Kangsar dan Kampar selain daripada kawasan sekeliling Ipoh. Jadi ini satu penambahbaikan dan 51 buah bas baharu telah diperkenalkan.

"Kita telah melantik operator Perak transit, yang merupakan operator tempatan. Mereka amat mengenali keadaan di Perak khususnya di Ipoh. Mereka telah menjalankan perkhidmatan sebelum ini dan mereka ada pengalaman kita yakin mereka dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Transformasi Bas Berhenti-henti Bas.MY di Dewan Bandaran Ipoh di sini yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pas perjalanan tanpa had dengan bayaran RM50 sebulan turut diperkenalkan sebagai salah satu langkah penjimatan kepada pengguna.

Selain itu, tambang percuma turut disediakan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas; orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, dan mahasiswa.

Pelaksanaan Bas.MY Ipoh melibatkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Daerah Perak Tengah.

Sebanyak 51 buah bas baharu digunakan dilengkapi dengan kemudahan moden serta teknologi digital terdiri daripada 14 bas midi dan 37 mini low floor akan digunakan untuk memenuhi operasi di 16 laluan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI