fb fb fb fb fb

Bas alami masalah brek rempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat

Antara kenderaan yang dirempuh di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe-Jalan Kluang, dekat Batu Pahat, pagi tadi.

BATU PAHAT, 18 April- Gara-gara brek rosak, sebuah bas dipercayai milik Kolej Vokasional Batu Pahat merempuh 11 kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Tan Swee Hoe di Jalan Kluang, di sini,hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi yang membabitkan sebuah bas, dua buah lori dan sembilan buah kereta.

“Siasatan awal polis di lokasi mendapati sebuah bas yang datang dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang telah hilang kawalan dipercayai brek gagal berfungsi sebelum merempuh 11 kenderaan lain yang sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat itu.

“Polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya.

Menurut Ismail, seramai lapan orang pelajar berada dalam bas turut terbabit namun tiada kecederaan dilaporkan.

Pemandu bas berusia 51 tahun tersebut ditangkap dan direman untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor menerusi satu kenyataan berkata sepasukan 15 anggota dengan sebuah jentera, EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram telah dikejarkan ke lokasi nahas tersebut.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan 11 kenderaan iaitu sebuah lori jenis Daihatsu satu tan, lori jenis Hicom, sebuah bas Hino milik Kementerian Pendidikan, sebuah kereta Perodua Myvi satu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero, Perodua Viva, Hyundai, Alza serta sebuah kereta Mercedes Benz dan dua Toyota Vios.

“Pemeriksaan lanjut anggota bomba berjaya menemui seorang mangsa wanita yang didapati tersepit di dalam kereta Vios namun berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas. Mangsa yang diselamatkan mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan selanjutnya," menurut kenyataan itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI