fb fb fb fb fb

BAP: 'RM150 ringankan beban kami' - Ibu bapa

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 beri kelegaan buat golongan ibu bapa/Foto Fail BERNAMA

SEREMBAN, 30 Januari - Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberikan kepada setiap murid bermula bulan ini memberi kelegaan kepada golongan ibu bapa yang memerlukan bantuan.

Ibu bapa ketika ditemui RTM pada Selasa berharap bantuan seumpama itu diteruskan lagi pada tahun hadapan dalam membantu mereka menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Hasil tinjauan RTM di Sekolah Kebangsaan Dato’ Klana Putra di Lenggeng, seramai 474 murid menerima BAP bernilai RM150 seorang.

"Bantuan ini sangat-sangat membantu sebab buku sekarang bukan semua mudah, peralatan sekolah pun tidak murah sangat, peralatan sekolah nak baik untuk anak-anak. Alhamdulillah, inisiatif ini membantu kami yang bekerja sendiri," kata Siti Muliani Nordin.

"Kita rasa bersyukur...sebab kerajaan membantu ibu bapa sekurang-kurangnya tak ada lah rasa terbeban sangat macam saya ada tiga orang anak dan kos setiap orang berbeza-beza," kata Hafni Tamin.

"Saya rasa bersyukur untuk dapat duit ni untuk bayar yuran sekolah menengah ni. Jadi dengan bantuan ni saya boleh meringankan beban mak ayah saya," kata pelajar, Noah Mohd Faizal.

KPM sebelum ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

GRACE AISYAH KEDAYAN