PULAU PINANG, 2 November - Kepentingan pendidikan yang bukan sahaja fokus kepada penguasaan ilmu, tetapi juga menerapkan nilai dan akhlak yang tinggi dalam golongan anak muda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus dapat mewariskan generasi kepimpinan yang dapat mewakili rakyat, menegakkan kebenaran dan keadilan.
Anwar turut menegaskan bahawa dalam bidang pendidikan, keseimbangan antara ilmu, nilai, dan akhlak adalah amat penting.
"Kerana banyak orang dapat ilmu tapi hilang nilai, hilang akhlak, ini yang hilang. Jadi, anak muda itu harus ditanam kecintaan kepada ilmu, dan kemudian... satu kecintaan kepada ilmu, keduanya dia kena faham dan nilai," katanya pada program Temu Anwar di Karnival Generasi Ada Idea (Gen-AI) di tapak Parkir Gravitas Jalan Baru Prai di sini hari ini.
Beliau menambah bahawa pendidikan harus menjadi medium pencerahan dan peluang untuk menanam nilai murni dalam diri pelajar.
"Bila kita bicara dengan prinsip, bicara dengan idealisme, bicara menolak rasuah, kerosakan... ini kerana daripada hati nurani. Dari diri kita sendiri, pancaran—cernaan dari hati nurani yang menginginkan yang kemudian terungkai diterjemah dalam bentuk amal dan ini disuarakan dengan lantang," katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Kounikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.