Bantuan tamat jika gagal kemas kini maklumat

Lim Hui Ying ketika menjawab soalan wakil Batang Lupar, di Parlimen.

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Penilaian semula penerima bantuan kebajikan akan dilaksanakan setiap tahun, termasuk dua bulan sebelum tempoh bantuan tamat, bagi menilai semula kedudukan ekonomi dan sosial semasa penerima.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian semula bantuan dilaksanakan setiap tahun, termasuk dua bulan sebelum tempoh bantuan tamat.
  • Penerima wajib kemukakan Borang JKM 20 dan sedia untuk siasatan atau lawatan pegawai JKM.
  • Kegagalan kemas kini maklumat atau mematuhi syarat boleh menyebabkan bantuan ditamatkan.
  • Penerima yang ditamatkan boleh memohon semula melalui Borang JKM 18 atau borang dalam laman rasmi JKM.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, penerima bantuan diwajibkan mengemukakan Borang Kaji Semula JKM 20 dalam tempoh ditetapkan, selain bersedia menjalani siasatan atau lawatan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke kediaman mereka sekiranya perlu.

Beliau menegaskan, kegagalan mematuhi keperluan tersebut boleh menyebabkan bantuan ditamatkan.

Menurut beliau, antara faktor penamatan bantuan termasuk penerima meninggal dunia, pendapatan melepasi Garis Kemiskinan, gagal mengemas kini Borang JKM 20 dan maklumat semasa, serta penerima didapati telah berupaya berdikari.

Bagaimanapun, Hui Ying berkata, penerima yang bantuannya ditamatkan masih boleh mengemukakan permohonan semula dengan mengisi Borang JKM 18 atau borang permohonan bantuan yang boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi JKM.

“Pegawai JKM akan menjalankan siasatan lanjut bagi menilai kelayakan serta menentukan bentuk bantuan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan lisan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, pada persidangan Dewan Rakyat.

Tambah beliau, bagi memastikan proses penamatan bantuan berjalan secara teratur dan telus, JKM akan memaklumkan penerima melalui pelbagai kaedah, termasuk panggilan telefon, emel, surat rasmi, serta dengan menghubungi ketua komuniti setempat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan