
PADANG TERAP, 11 Januari – Pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus mendapat sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar di Kedah.
- Program SARA mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk luar bandar Kedah.
- Penerima menggunakan bantuan untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan kebersihan diri.
- Penyaluran SARA bulanan bermula 9 Januari 2026 dan one-off RM100 disalur mulai 9 Februari 2026.
Di Naka, penerima bantuan memanfaatkan sepenuhnya inisiatif Kerajaan MADANI itu bagi meringankan kos sara hidup, terutamanya dalam mendapatkan barangan keperluan asas.
Chainoi, yang juga seorang petani berkata, bantuan tersebut banyak membantunya menampung keperluan harian.
“SARA yang kerajaan bagi memang amat memuaskan dan meringankan beban sara hidup orang kampung seperti kami. Saya harap inisiatif seperti ini boleh diteruskan,” katanya.
Fazlina Abu Bakar pula berkata, bantuan itu membolehkan penerima membeli barangan dapur dan keperluan kebersihan diri.
“Barangan asas seperti makanan dan keperluan diri dapat dibeli menggunakan SARA. Ia sangat membantu golongan B40 seperti kami,” katanya.
Bantuan RM100 ini turut membantu Buppa a/p Chiyang membeli keperluan penting untuk keluarga seperti beras, sabun dan syampu.
“SARA ini bagus untuk keluarga kami. Setiap bulan kami beli keperluan di kedai sini,” katanya.
Bagi Zahirah Abu Bakar, bantuan tersebut membantu mengurangkan beban kewangan keluarganya yang mempunyai empat orang anak.
“Saya beli sabun, barang dapur dan sedikit tepung untuk buat kuih. Ia sangat membantu meringankan beban kami,” katanya.
Sementara itu, pemilik pasar raya tempatan, Zulkifli Mat Husin, 65, berkata walaupun premisnya terletak jauh dari kawasan bandar, beliau memastikan barangan keperluan asas sentiasa mencukupi untuk penduduk setempat.
“Kedai ini membekalkan hampir semua barangan asas dan sambutan terhadap SARA amat menggalakkan. Kami pastikan stok beras, telur dan barangan keperluan sentiasa mencukupi,” katanya.
SARA Bulanan 2026 telah disalurkan bermula 9 Januari lepas untuk 5 juta penerima.
Manakala bantuan SARA untuk semua sebanyak RM100 secara one-off akan disalurkan bermula 9 Februari 2026 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas bagi manfaat rakyat untuk persiapan Ramahan dan sambutan Tahun Baru Cina.