
KUALA LUMPUR, 19 Januari –Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan yang diagihkan kepada golongan bujang pada 16 Januari lalu disifatkan sebagai langkah tepat dalam membantu meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan bujang berpendapatan rendah.
- SARA bulanan diagihkan kepada golongan bujang pada 16 Januari untuk meringankan beban kewangan mereka.
- Penerima melaporkan kelegaan dan bantuan mengurus perbelanjaan harian serta membeli barang dapur.
- Program dilihat sebagai inisiatif positif yang patut diteruskan demi sokongan berterusan.
- Penerima bujang terima RM50 sebulan; penerima eKasih terima RM100 melalui MyKad untuk keperluan asas.
Tinjauan RTM di ibu negara mendapati, bantuan berkenaan memberi kelegaan kepada penerima yang berasa lega serta terbantu dalam mengurus perbelanjaan harian.
Fatimah Khairudin, seorang penerima, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterimanya.
“Alhamdulillah, bantuan ini dapat membantu saya setiap bulan untuk membeli barang dapur sedikit sebanyak. Terima kasih kerajaan,” katanya kepada RTM.
Bagi Syafiq Mikael pula, dia menyokong inisiatif tersebut dan menekankan kepentingan kesinambungan bantuan berkenaan.
“Bagi saya, ia dapat meringankan beban saya. Membeli barang dapur dan bantuan ini perlu dikekalkan. Kerajaan mendengar rintihan rakyat. Saya yakin usaha ini sangat membantu orang ramai.”
Manakala Charles Prabu A/L Muthusamy pula melihat bantuan berkenaan sebagai satu inisiatif positif.
“Ya, sudah tentu. Walaupun jumlahnya tidak banyak, sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada tiada langsung. Ia pasti membantu orang seperti saya dan yang lain.
“Apa-apa inisiatif baik patut diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. Saya rasa dihargai sebagai rakyat. Cadangan saya kepada kerajaan, teruskan inisiatif ini untuk masa hadapan.”
SARA Bulanan diagihkan pada 16 Januari 2026, dengan penerima bujang menerima RM50 sebulan, manakala penerima eKasih menerima RM100 sebulan melalui MyKad.
Bantuan tersebut boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan kedai terpilih di seluruh negara.