
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Lebih 500 golongan asnaf dan anak yatim menerima sumbangan duit raya menerusi Program Iftar Ramadan dan Iftar Jama’ie yang berlangsung di perkarangan Masjid Azzubair Ibnul Awwam, di sini.
- Program dianjurkan Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia bagi membantu golongan memerlukan sempena Ramadan.
- Dirasmikan oleh Ahli Parlimen Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
- Penerima asnaf, anak yatim dan anak Sahabat Usahawan AIM menerima sumbangan duit raya RM100 setiap seorang.
Program anjuran Parlimen Bandar Tun Razak dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu dirasmikan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak bagi membantu golongan memerlukan, khususnya sempena bulan Ramadan.
“Kami berdoa agar AIM terus maju dalam usaha membantu masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar terus mengamalkan sikap saling membantu dan berbuat baik antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Dalam program itu, lebih 500 penerima terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim dari Parlimen Bandar Tun Razak serta anak Sahabat Usahawan AIM menerima sumbangan duit raya sebanyak RM100 setiap seorang.