KUALA LANGAT, 29 Januari- Sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membantu 150 masjid, surau dan sekolah agama di negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir Disember lalu.
Melalui peruntukan pascabanjir itu, setiap masjid, surau dan sekolah agama menerima sumbangan zakat maksimum sehingga RM50,000.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop, sumbangan itu bagi menggantikan karpet, peralatan masjid, perabot sekolah dan buku teks yang musnah.
"Ini salah satu usaha zakat untuk membantu sekolah dan juga institusi agama termasuk tahfiz di Selangor, sekolah KAFA, masjid, surau dan sebagainya dan kita mengharapkan anak-anak dan guru-guru yang dapat bantuan sumbangan zakat ini mendoakan Zakat Selangor dan mendoakan pembayar zakat ini untuk terus membantu dan juga menyalurkan zakat ke LZS," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan simbolik bantuan baik pulih institusi agama, pascabanjir di KAFA Integrasi Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Kuala Langat.
LZS menyerahkan sumbangan kerusi dan meja berjumlah RM128,000 kepada KAFA Integrasi Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang kepada Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan.
Selain itu, turut diserahkan sumbangan pembelian karpet kepada Masjid Ar-Rahmah, Bukit Changgang yang bernilai RM70,000.