KUALA LUMPUR, 14 Disember – Sumbangan serta bantuan kemanusiaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia kepada penduduk terjajas bencana banjir lumpur serta tanah runtuh di Sumatera Utara pada 26 November lalu disifatkan telah menyuntik kekuatan dan semangat kepada penduduk terjejas untuk bangkit serta meneruskan kehidupan.
Susulan itu, penduduk terjejas banjir di wilayah Aceh, Indonesia menzahirkan penghargaan atas bantuan yang dihulurkan, khususnya kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan masih berlindung di pusat pemindahan sementara hampir dua minggu selepas kejadian.
Ketua Kampung Pante Lhong, daerah yang paling terjejas akibat bencana banjir lumpur, Murizal K berkata bantuan melibatkan ubat-ubatan, makanan serta barangan keperluan asas amat membantu dalam fasa awal proses pemulihan.
Ketua Kampung Pante Lhong, Murizal K (kiri)
“Hari ini kami cuba bangkit dan berusaha untuk kembali tegar. Kami akan terus tabah. Alhamdulillah, kami turut menerima bantuan daripada para penderma, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh rakyat Malaysia yang memberikan perhatian dan sokongan kepada kami.
"Bantuan dan keprihatinan ini telah mengembalikan semangat kami untuk bangkit semula dan kembali menjalani aktiviti harian,” katanya menerusi kiriman video yang dirakamkan di Bireuen.
Pada masa sama, beliau turut memohon rakyat Malaysia agar terus mendoakan kesejahteraan penduduk terjejas bencana memandangkan proses pemulihan dijangka mengambil masa yang panjang.
Sementara itu, pada 11 Disember, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan bersama MERCY Malaysia telah melaksanakan Program Peduli Bencana Banjir Siri Dua bagi membantu penduduk terjejas banjir di daerah Aceh Tamiang, antara kawasan yang paling terjejas.
Antara bantuan yang disalurkan termasuk makanan, ubat-ubatan, barangan keperluan asas, kelengkapan solat serta barangan kebersihan diri.
Pada 10 Disember pula, badan bukan kerajaan Blue Sky Rescue (BSR) dari Kuala Lumpur telah menyalurkan bantuan perubatan kali kedua seberat tiga tan bagi merawat penduduk terjejas banjir.
Untuk rekod, BSR merupakan antara pasukan terawal dari luar negara yang tiba di Aceh pada 1 Disember lalu.
Setakat ini, 18 daripada 23 daerah dilaporkan terkesan akibat banjir besar berkenaan, dengan beberapa kawasan masih terputus hubungan.
Kerajaan Indonesia juga belum mengisytiharkan kejadian tersebut sebagai Bencana Nasional.