fb fb fb fb fb

Bantuan Aidilfitri pesawah, nelayan disalur Isnin ini

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 7 April- Pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200 kepada 240,000 pesawah dan 38,500 nelayan dibuat mulai Isnin ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, bayaran itu akan dibuat kepada pesawah menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), manakala melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk nelayan laut dan Jabatan Perikanan Malaysia untuk nelayan darat.

Bayaran tersebut layak disalurkan kepada pesawah, nelayan laut dan nelayan darat warganegara Malaysia; pesawah yang terbabit dalam penanaman padi pada 2022, nelayan laut dan darat yang aktif menjalankan penangkapan ikan serta berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh kerajaan.

"Pengumuman ini membuktikan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan nasib pesawah dan nelayan sentiasa terpelihara dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi selaras dengan kerangka visi Malaysia Madani.

"Kementerian berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu pesawah dan nelayan dalam membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya," menurut kenyataan.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi 03-8870 1759/ 1760/ 1761; Jabatan Perikanan Malaysia (03-8870 4422/ 4475); LPP (03-2610 96640; LKIM (03-8064 9303); Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (04-772 8255) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (09-745 5388 samb. 5433).

(Foto fail)

Media Baharu