fb fb fb fb fb

Banteras penyeludupan, ATM ketatkan kawalan sempadan meski dalam MTL

Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), Brigedier Jeneral Datuk Azudin Hassan

KOTA BHARU, 18 Disember- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal mengawal ketat sempadan Malaysia-Thailand daripada aktiviti penyeludupan khususnya di Sungai Golok, Pasir Mas, Kelantan walaupun dalam musim Monsun Timur Laut (MTL).

Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), Brigedier Jeneral Datuk Azudin Hassan berkata pihaknya sentiasa mengkaji modus operandi yang digunakan penyeludup bagi merangka kaedah penguatkuasaan yang sesuai sepanjang musim banjir ini.
  
Katanya, berdasarkan panduan dan pemerhatian anggota, penyeludup sentiasa mengubah taktik mereka bagi mengelak dihidu pihak penguat kuasa.
 
“Kalau sebelum ini, mereka menyeludup pada waktu Maghrib, waktu Subuh. Waktu dimana orang tidak ronda, orang solat apa semua. Maka, mereka buat penyeldupan pada masa itu.

Mungkin kita akan kaji semula. Kita pun adakan rondaan pada masa itu. Kita akan buat secara dinamik, untuk lebih pantas daripada penyeludup ini," kata Datuk Azudin dalam sidang media selepas Perbarisan First Responder Operasi Murni 8 Briged di Kem Pengkalan Chepa, di sini.
 
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kawalan tetap berjalan seperti biasa meski ada beberapa kawasan sempadan negara yang berada di bawah tanggungjawab ATM dinaiki air.

Ia melibatkan Sungai Golok dan kawasan jalan darat sepanjang sempadan di Rantau Panjang, Tanah Merah dan Jeli.
 
ATM mempunyai keanggotaan seramai 4,500 orang dan aset logistik yang sedia digerakkan pada bila-bila masa jika keadaan banjir di negeri Kelantan dan Terengganu semakin buruk. 
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM