fb fb fb fb fb

Banteras budaya kerja toksik di hospital - Khairy

(Khairy Jamaluddin/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pagi tadi mengadakan pertemuan bersama doktor pelatih di Hospital Selayang.

Pertemuan tersebut bagi mendengar pengalaman mereka sepanjang bertugas di hospital.

Menerusi hantaran di Twitter, Khairy memaklumkan doktor pelatih meluahkan pelbagai perkara kepada beliau dan terdapat jabatan yang mempunyai persekitaran kerja yang bagus.

Namun, ada pula yang boleh diperbaiki.

(Khairy mendengar pengalaman doktor pelatih ketika lawatannya
di Hospital Selayang, pagi tadi/Twitter Khairy Jamaluddin)

Katanya lagi, beliau tidak mahu budaya kerja toksik di hospital.

"Saya tidak mahu budaya kerja yang toksik di hospital. Zaman dahulu dan zaman sekarang lain. Work environment mesti ada respect, support and empowering. Bukan abusive and humiliating," tulisnya.

Beliau turut memaklumkan akan mengumumkan ahli jawatankuasa petugas bebas yang diberi masa dua bulan untuk menyiasat kes buli dalam kalangan doktor pelatih petang ini.

"Petang nanti saya umumkan anggota pasukan bebas yang diberi masa dua bulan untuk siasat budaya kerja di hospital dan isu buli dan membuat syor untuk memperbaiki keadaan work culture Kementerian Kesihatan," tambah beliau.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan Kementerian Kesihatan akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini.

Jawatankuasa tersebut turut bertindak untuk meneliti dakwaan budaya buli yang berlaku antara doktor dan doktor pelatih di hospital awam.

Media Baharu