KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Penduduk di Terengganu yang terjejas banjir gelombang ketiga terus meningkat apabila 369 orang daripada 115 keluarga di tiga daerah kini berlindung di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 11:00 malam ini, berbanding 103 orang daripada 24 keluarga pada petang tadi.
Berdasarkan portal Info Bencana JKM, Kuala Nerus merekodkan jumlah penduduk terjejas tertinggi iaitu 299 orang daripada 93 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal dan SK Kompleks Mengabang Telipot.
Manakala selebihnya di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, di Kuala Terengganu dan di PPS Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan, di Dungun.
Sementara itu, laman web public infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, paras air sungai di dua stesen iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping (F1) dan Sungai Peneh di Felda Mengkawang, Hulu Terengganu telah melebihi tahap amaran.
Orang ramai di kawasan berhampiran dinasihatkan berjaga-jaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada, yang dijangka melanda empat negeri, iaitu di seluruh Terengganu dan Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh dari 25 hingga 28 Disember.
Keadaan sama dijangka melanda Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) dari 26 hingga 29 Disember.