fb fb fb fb fb

Banjir terburuk di Bintulu: Tiong kesal sistem perparitan lemah

Datuk Seri Tiong King Sing membantu penduduk terjejas banjir di Bintulu sejak semalam/Foto Facebook Rasmi Tiong King Sing

BINTULU, 30 Januari – Kegagalan sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik, khususnya di Sungai Sibiew, dikenal pasti antara punca utama banjir buruk yang melanda Bintulu selepas hujan lebat berterusan selama tiga hari dua malam.

Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kelemahan infrastruktur sedia ada telah menghalang Sungai Sibiew daripada mengalirkan lebihan air dengan berkesan.

Ini sekali gus menyebabkan paras sungai meningkat dengan cepat dan memburukkan lagi situasi banjir.

“Kawasan paling teruk terjejas adalah sekitar Sungai Sibiew, akibat kelewatan projek mendalamkan dan melebarkan sungai ini yang sudah tertangguh hampir lima tahun.

"Keadaan ini menjadi peringatan jelas bahawa agensi berkaitan perlu bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan bahawa projek mendalamkan Sungai Sibiew perlu dilaksanakan segera dengan kedalaman antara tiga hingga lima meter serta pelebaran sehingga 100 meter.

Katanya, ini bagi memastikan ia mampu menampung peningkatan jumlah hujan akibat perubahan iklim.

Selain itu, Sungai Kemena, yang bersambung terus ke laut, turut mengalami masalah mendapan yang menyebabkan laluan sungai semakin cetek dan menyukarkan pergerakan bot.

Justeru, beliau mencadangkan agar kerja-kerja pendalaman sungai itu turut dilakukan segera bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Beliau turut menghargai usaha pasukan penyelamat yang telah dikerahkan bagi membantu penduduk yang terperangkap, terutama golongan warga emas, wanita, dan kanak-kanak.

Beliau menegaskan bahawa langkah penyelesaian jangka panjang perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan bencana ini daripada berulang.

"Pada mesyuarat bersama Pejabat Residen Bintulu pada 10 Februari nanti, saya akan menekankan kepentingan mendalamkan Sungai Sibiew dan Sungai Kemena serta mencadangkan penghentian pembinaan jambatan antara Taman Jason dan Taman Kemena Sutera bagi mengelakkan gangguan terhadap kerja-kerja pendalaman sungai," katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa agar proses pemindahan penduduk setinggan di tebing sungai dipercepatkan bagi memastikan projek pelebaran dan pendalaman sungai dapat dijalankan dengan lancar.

Penduduk dinasihati agar menghadkan aktiviti luar dan mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini akibat arus banjir yang masih deras.

GRACE AISYAH KEDAYAN