fb fb fb fb fb

Banjir: Situasi banjir di Johor dan Pahang berkurangan

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 8 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor dan Pahang berkurangan kepada 8,566 orang setakat pukul 8.00 malam ini berbanding 8,904 orang petang tadi.

Kesemua mereka ditempatkan di 73 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Johor sebanyak 25 PPS dibuka di Kota Tinggi yang menempatkan 4,652 orang, diikuti 11 PPS di Kluang (1,613 orang), lima PPS di Johor Bahru (903 orang), tiga PPS di Segamat (73 orang) serta sebuah PPS masing-masing di Kulai (86orang) dan Pontian (17 orang).

Di Pahang, jumlah penduduk terjejas banjir mencatatkan penurunan kepada 1,222 orang daripada 334 keluarga yang berlindung di 27 PPS di tiga daerah berbanding 1,393 orang daripada 383 keluarga di 26 PPS petang tadi.

"Seramai 536 penduduk daripada 167 keluarga ditempatkan di 11 PPS di Rompin, serta masing-masing lapan PPS di Maran (473 penduduk daripada 110 keluarga) dan Pekan (213 penduduk daripada 57 keluarga).

"Sebuah PPS turut dibuka di Kuching, Sarawak disebabkan bencana kebakaran yang menempatkan 38 mangsa daripada 12 keluarga," kata NADMA.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor mencatatkan paras bahaya antaranya Sungai Skudai di Johor Bahru, Sungai Johor (Johor Bahru), Sungai Johor (Kota Tinggi), Sungai Johor (Kulai) dan Sungai Endau (Kluang).

Selain itu, Sungai Kedah di Kota Setar, Kedah, Sungai Kelantan (Kota Bharu, Kelantan), Sungai Perak (Hulu Perak, Perak), Sungai Arau (Arau, Perlis), Sungai Salim Batang Rajang (Sibu, Sarawak) dan sungai di Pahang iaitu Sungai Kuantan (Kuantan), Sungai Pahang (Jerantut), Sungai Pahang (Pekan dan Maran) dan Sungai Rompin (Rompin).

Laporan itu juga memaklumkan terdapat 60 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh, antaranya Jalan Kota Tinggi-Kluang di Kluang, Johor; Jalan Sungai Sok-Chucuh Puteri, Kuala Krai di Kelantan; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak di Perak dan Jalan Temerloh-Jerantut di Pahang.

TETITIA YUSOFF