KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Seluruh jentera Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan beberapa penguat kuasa lain bermula dari peringkat pusat hingga daerah sudah digerakkan ke kawasan dilanda banjir bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata koordinasi antara NADMA dengan agensi berkaitan dilakukan segera mengambil kira jangkaan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku lebih awal daripada tempoh sepatutnya iaitu antara akhir Oktober atau awal November berikutan perubahan iklim.
“Walaupun saya kini berada di Manila (Filipina), saya terus melakukan pemantauan secara dekat dengan semua pegawai yang terlibat untuk menentukan bahawa tiada seorang pun mangsa yang tertinggal dan tidak disantuni.
“Saya berharap segala arahan yang dibuat oleh NADMA dan agensi penguat kuasa lain dapat diikuti oleh mangsa banjir,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara kini berada di Filipina bersempena lawatan rasmi tiga hari beliau ke republik itu sejak semalam.
Setakat petang tadi, lebih 4,000 penduduk di enam negeri terjejas banjir iaitu Selangor, Pahang, Perak, Kedah, Melaka dan Johor ditempatkan di PPS.
Hujan lebat di ibu negara sejak awal pagi turut menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.
Antaranya Jalan Pantai Baharu, Jalan Parlimen (Bulatan Dato’ Onn) dan Jalan Kinabalu ekoran limpahan sungai utama iaitu Sungai Batu, Sungai Klang dan Sungai Gombak, selain insiden tanah runtuh di Taman Melawati. -BERNAMA