
KOTA KINABALU, 13 Februari – Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah meningkat kepada 445 orang daripada 185 keluarga pagi ini berbanding 355 orang daripada 149 keluarga, semalam.
- Jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 445 orang dari 185 keluarga di Sabah.
- Penduduk terjejas dari 17 kampung di daerah Sipitang dan Beaufort.
- Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan penduduk terjejas.
- Hujan lebat menaikkan paras Sungai Mengalong dan Sungai Padas, mencetuskan banjir.
Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemuanya terdiri daripada penduduk dari 17 kampung yang dilanda banjir di Sipitang dan Beaufort.
Mereka kini berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah terjejas.
Beaufort mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi membabitkan 242 orang daripada 89 keluarga dari tiga kampung terjejas berbanding 154 orang daripada 53 keluarga semalam yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Selagon.
Di Sipitang, seramai 95 orang daripada 45 keluarga berlindung di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah.
Manakala jumlah penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Berampah kekal 108 orang daripada 51 keluarga.
Hujan lebat berterusan sejak petang Selasa menyebabkan paras air Sungai Mengalong di Sipitang dan Sungai Padas di Beaufort meningkat hingga mengakibatkan banjir di kawasan kampung berhampiran.