GUA MUSANG, 19 Disember - Penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir di Gua Musang, Kelantan menyifatkan banjir yang melanda penempatan mereka terburuk dalam tempoh 11 tahun selepas bencana bah kuning pada tahun 2014.
Dalam kejadian bencana banjir yang berlaku semalam, kebanyakan penduduk cemas kerana hujan turun secara berterusan dan paras banjir sungai meningkat secara mendadak.
Penduduk yang bimbang dengan risiko keselamatan nyawa, terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Lebir.
"Tahun lepas tak. Tahun ini air naik cepat. Anak sampai tidak dapat pergi sekolah semalam. Hujan renyai, tak sangka air naik. Simpan barang yang perlu sahaja", ujar penduduk terjejas banjir, Siti Zura Azwani Ibrahim.
“Air memang naik laju. Kami sempat simpan barang. Lepas Maghrib baru datang ke sini. Kejadian macam 2014 buat kami takut sebab pernah alami rumah hanyut. Jadi kami terus simpan barang", kata penduduk terjejas banjir, Aleriyana Mahmud.
Sehingga kini seramai 35 keluarga yang membabitkan 148 mangsa berada di PPS SK Lebir.
“Trend air memang naik waktu pagi. Sekitar 4.30 pagi orang dah mula simpan barang, 5.30 pagi air naik. Hari ini kita harap cuaca cerah dan hujan tidak turun", kata Ketua Peneroka RKT Kesedar Lebir, Nor Azmi Abdullah.