fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di dua negeri meningkat pagi ini

FOTO INFOBENCANAJKM

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Penduduk terjejas banjir bagi dua negeri iaitu Johor dan Pahang menunjukkan sedikit peningkatan seramai 49 orang kepada 9,746 orang pada pagi ini berbanding 9,697 orang setakat tengah malam tadi.

Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merekodkan seramai 8,221 orang daripada 2275 keluarga yang masih berlindung di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor melibatkan enam daerah terjejas, setakat pukul 6.00 pagi tadi.

Bagi daerah Kota Tinggi membabitkan 4,730 orang diikuti Johor Bharu (1,976), Kluang (1,308), Segamat (99), Kulai (86) dan Pontian (22).

Data NADMA menunjukkan Kota Tinggi merekodkan trend peningkatan penduduk terjejas, manakala daerah lain tiada perubahan berbanding tengah malam tadi.

Sementara di Pahang mencatatkan 1,525 orang daripada 435 keluarga di 23 PPS yang dibuka di tiga daerah.

Paling ramai di daerah Pekan dengan 797 penduduk, diikuti Rompin (716) dan Maran (12). 

Rompin merekodkan trend peningkatan, manakala dua daerah lagi tidak berubah.

Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dikeluarkan bagi negeri Johor (Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru); dan Sarawak melibatkan Kuching (Kuching), Serian dan Samarahan sehingga 9.00 pagi nanti.

SITI AISHAH BINTI MD ISA