fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk syukur PPS lengkap barangan keperluan, selesa

Foto RTM

KEMAMAN, 11 Disember- Gelombang banjir kedua di Terengganu menyebabkan lebih 5,000 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Rata-rata penduduk yang terjejas banjir meluahkan rasa syukur kerana PPS dilengkapi dengan pelbagai barangan keperluan dan menyediakan persekitaran yang selesa.

"Setakat ini, alhamdulillah, makanan untuk penduduk terjejas banjir mencukupi, dan tempat tinggal pun selesa. Semuanya diuruskan dengan baik untuk diberikan kepada penduduk," kata penduduk, Mohd Zuki Abd Ghani.

"Keadaan agak kelam-kabut sebab ramai yang baru berpindah ke sini sejak pukul 2.00, 3.00 pagi tadi. Jadi, suasana sibuklah sedikit dengan orang nak mendaftar. Saya pun bantu setakat yang mampu sahaja," kata penduduk, Salmiah Abd Ghani.

Terdahulu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan bahawa banjir di negeri itu telah menyebabkan 5,854 penduduk daripada 1,450 keluarga dipindahkan ke PPS setakat pukul 10.00 pagi tadi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM