fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk dinasihat utamakan keselamatan elektrik - TNB

Wan Seri Rahayu Wan Mohamad Said

KUALA LUMPUR, 11 November- Penduduk dinasihat agar sentiasa memberi keutamaan kepada aspek keselamatan elektrik sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berlaku bermula hari ini hingga Mac tahun depan seperti diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Pemangku Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Seri Rahayu Wan Mohamad Said berkata, semua suis utama di rumah perlu ditutup sekiranya penduduk diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan situasi banjir.

Beliau turut mengingatkan penduduk agar menggunakan peralatan elektrik secara berhemah ketika air mula meningkat di dalam rumah.

Penduduk terjejas banjir juga digalakkan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 15454 atau menerusi Facebook TNB Careline, sekiranya terdapat pepasangan TNB terputus atau tumbang bagi tindakan segera demi keselamatan awam.

“Apabila paras air mencapai tahap bahaya, TNB akan memutuskan bekalan elektrik ke kawasan terbabit untuk sementara waktu demi keselamatan orang awam.

"Bekalan elektrik akan dipulih semula setelah air surut dan keadaan kembali selamat. TNB akan terus memantau keadaan setiap pepasangan TNB dari masa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Seri Rahayu berkata, TNB telah bersedia menghadapi kemungkinan bencana banjir dengan persiapan rapi bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan berkesan.

Persiapan itu bagi meminimumkan kerosakan pepasangan demi menjaga keselamatan orang awam.

SITI AISHAH BINTI MD ISA