fb fb fb fb fb

Banjir: Melaka akan laksana pelan jangka pendek & panjang

Foto BERNAMA

JASIN, 8 Oktober- Melaka sentiasa mengambil tindakan segera dan mengenal pasti punca berlakunya banjir kilat yang kerap di beberapa kawasan di negeri tersebut.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata kerajaan negeri akan melaksanakan pelan jangka pendek dan jangka panjang.

Menurut Rais, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah diarahkan untuk meneliti beberapa keperluan, termasuk kerja-kerja pembersihan sistem perparitan sedia ada.

"Kita ada dua tindakan; yang pertama, tindakan jangka pendek, dan kita juga harapkan supaya pelaksanaan tindakan jangka panjang RTB (Rancangan Tebatan Banjir) dapat mengurangkan masalah banjir yang berlaku di Jasin.

"Kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga untuk bertindak segera di mana-mana kawasan yang terjejas di Melaka," katanya selepas melawat penduduk yang terjejas akibat banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tehel di sini.

Seramai 22 penduduk daripada enam keluarga telah ditempatkan di PPS berkenaan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM