fb fb fb fb fb

Banjir: Masjid, surau diminta adakan solat hajat

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh penduduk yang terjejas banjir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Moktar berkata, beliau telah mengarahkan seluruh jentera agensinya untuk turun membantu penduduk terjejas banjir menerusi tabung bantuan sedia ada. 

Beliau turut mengarahkan semua agensi bawahnya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk meninjau dan membantu penduduk yang terkesan di negeri-negeri yang terlibat.

Datuk Naim yang baru tiba di Kuala Lumpur setelah mengadakan lawatan rasmi ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia akan turut sama turun padang membantu.

Menurutnya, sesi lawatan bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara serumpun tersebut terpaksa dipendekkan berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat di Malaysia.

Justeru, beliau memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas.

Datuk Naim turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE