fb fb fb fb fb

Banjir: Lagi dua PPS dibuka di Johor

FOTO APM BATU PAHAT

JOHOR, 10 Januari- Penduduk terjejas banjir di Johor menunjukkan sedikit peningkatan apabila dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, tengah hari ini.

Seramai 8,231 penduduk terjejas daripada 2,268 keluarga ditempatkan di 55 PPS setakat pukul 12.00 tengah hari tadi, berbanding 8,221 orang daripada 2,275 keluarga di 53 PPS, pagi tadi.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Kota Tinggi kekal menjadi daerah paling terjejas dengan 4,739 penduduk ditempatkan di 26 PPS.

Ia diikuti sebanyak 12 PPS di Johor Bahru yang menempatkan 1,977 penduduk daripada 536 keluarga dan sembilan PPS di Kluang membabitkan 1,308 penduduk daripada 386 keluarga.

Selain itu, 22 penduduk ditempatkan di satu PPS di Pontian serta 86 penduduk daripada 23 keluarga ditempatkan di satu PPS di Kulai.

Empat PPS juga dibuka di Segamat menempatkan 99 penduduk daripada 28 keluarga, manakala dua PPS baharu dibuka di Batu Pahat dan sedang menerima pendaftaran penduduk.

SITI AISHAH BINTI MD ISA