JAWI, 16 April-Cuaca tidak menentu susulan peralihan angin Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Data terus memberi kesan kepada beberapa kawasan di negara ini, termasuk di Pulau Pinang.
Beberapa kawasan di sekitar negeri berkenaan, khususnya di Sungai Pinang mengalami banjir kilat awal pagi tadi susulan hujan lebat yang melanda negeri itu dalam tempoh singkat.
Menurut Pengarah JPS Negeri Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA), Ooi Soon Lee, kejadian berlaku sekitar pukul 2 pagi apabila taburan hujan mencecah kira-kira 20 milimeter dalam masa sejam.
"Pada awal pagi hari ini ada hujan lebat berlaku di Pulau Pinang di mana terdapat beberapa kejadian banjir kilat lah dan salah satu tempat tu di sungai Pinang di mana hujan keamatan hujan itu adalah 20 mm dalam satu jam dan banjir berlaku pada pukul 2:00 pagi.
"Dan tak ada pemindahan dan air dah surut pada awal pagi tadi", katanya demikian kepada RTM selepas Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara di Tapak Meletak Kenderaan Econsave Jawi, Seberang Perai Selatan (SPS)
Walaupun air naik dengan cepat, tiada sebarang pemindahan penduduk dilaporkan dan paras air kembali surut sepenuhnya menjelang awal pagi tadi.
Pihak berkuasa tempatan turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu susulan peralihan monsun ketika ini.