fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Pontian, sebuah PPS dibuka

Foto Hiasan

PONTIAN, 21 Jun - Sejumlah tujuh penduduk terjejas banjir di sini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Kokurikulum Kampung Sungai Tempayan, Pekan Nenas.

PPS itu dibuka susulan kejadian banjir kilat di kawasan berkenaan selepas hujan lebat lebih empat jam pada awal pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata PPS yang dibuka pada pukul 10.45 pagi itu menempatkan pendududuk terjejas yang tinggal di Kampung Sungai Moleh.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) setakat pukul 2 petang, tadi hanya satu daerah iaitu Pontian yang terjejas dengan kejadian banjir.

"Keadaan paras air di dua sungai di daerah Pontian adalah normal, iaitu Sungai Pontian Besar dengan bacaan 3.79 meter dan Sungai Pulai 1 meter,"katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu difahamkan hujan lebat turun tanpa henti di beberapa kawasan negeri ini selama empat jam bermula pukul 5.00 pagi tadi mengakibat kejadian banjir kilat di beberapa tempat, dan ia juga dikatakan berpunca daripada pertembungan dengan kejadian air pasang.

TETITIA YUSOFF