fb fb fb fb fb

Banjir kilat di Melaka, dua PPS dibuka

FOTO PENGGUNA FACEBOOK

MELAKA, 14 April- Hujan lebat berterusan hampir dua jam bermula sekitar pukul 4 petang tadi menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Melaka.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, sebanyak 57 buah rumah terjejas setakat pukul 9 malam tadi melibatkan ketiga-tiga daerah di negeri itu.

Antaranya enam buah rumah di Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai dan Taman Murai Jaya di Durian Tunggal, Alor Gajah.

Turut terjejas 16 buah rumah di Kampung Gapam, Jasin.

Sementara itu di Melaka Tengah kawasan terjejas melibatkan 35 buah rumah di Taman Melawis Bukit Beruang, Sungai Putat dan Ayer Keroh Height.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Japerun Ayer Keroh dan Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal bagi menempatkan penduduk terjejas banjir.

Proses pendaftaran sedang dilaksana.

Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memaklumkan penutupan Jalan Murai Jaya 1, Durian Tunggal bermula pukul 8 malam tadi berikutan jalan berkenaan terputus akibat banjir.

Namun jalan berkenaan telah dibuka semula untuk laluan kenderaan pada pukul 10 malam tadi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE