KUALA LUMPUR, 28 November - Kebanyakan kejadian banjir kilat yang berlaku di negara ini disebabkan oleh masalah kebersihan, terutamanya longkang dan saliran yang tersumbat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata masalah ini memerlukan kesedaran awam di peringkat komuniti untuk sama-sama menangani isu banjir kilat.
“Ia memberi satu peringatan penting, baru-baru ini, banjir berlaku di Kuala Lumpur disebabkan oleh saluran yang tersumbat. Jika kesedaran awam dapat dipertingkatkan mengenai kepentingan kebersihan, ia akan memberi impak yang positif,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan wakil Kuantan, Wan Razali Wan Nor mengenai dapatan hasil perancangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama pelbagai agensi kerajaan berkaitan untuk menyelesaikan isu banjir bagi jangka panjang.