fb fb fb fb fb

Banjir kilat di beberapa kawasan Miri selepas hujan lebat berterusan

Foto BBP Miri Sentral

MIRI, 9 Disember - Beberapa kawasan di sekitar Miri mengalami banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral melakukan rondaan dan pemantauan banjir melibatkan empat kawasan utama iaitu Jalan Lotus, Kampung Luak; Jalan Daro, Taman Tunku; Jalan Riam Jaya 1; dan Kampung Lereng Bukit.

Hasil pemantauan mendapati Jalan Lotus 1, Kampung Luak mencatat paras air dianggarkan setinggi 1.2 meter, dan air telah memasuki beberapa kediaman. Kawasan ini merupakan lokasi berisiko banjir kilat setiap kali hujan lebat berpanjangan.

Jalan Riam Jaya 1 pula mengalami air bertakung di kawasan rendah, namun tidak menjejaskan kediaman setakat ini.

Di Jalan Daro, Taman Tunku, banjir kilat yang berlaku awal pagi telah surut, namun kawasan tersebut kekal sebagai zon berisiko banjir kilat dan memerlukan pemantauan berterusan.

Kampung Lereng Bukit masih berada dalam keadaan terkawal, namun tetap dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir kilat dan tanah runtuh.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak memaklumkan bahawa pemantauan akan diteruskan sepanjang tempoh cuaca tidak menentu bagi memastikan keselamatan penduduk.

Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada, mengawasi perubahan paras air dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan diarahkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI