KUALA LUMPUR, 3 Disember- Kerajaan meneliti cadangan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) untuk membina tebing tinggi di kawasan pantai sebagai langkah mengatasi masalah banjir di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan yang pertama kali dibangkitkan sekitar 20 tahun lalu itu mungkin dapat dilaksanakan selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara disiapkan.
"Ada cadangan saya ingat lama dah 20 tahun lebih yang lalu dan dibangkitkan baru-baru ini dengan Perdana Menteri Jepun baru, iaitu projek kajian JICA umpanya mengatasi masalah banjir di pantai barat dan pada ketika itu tahun 90-an, keperluan perbelajaan itu sudah mencecah RM10 bilion, sekarang mungkin dah RM20 bilion.
"Memang ada cadangan antara lain untuk bina tebing-tebing tinggi di seluruh kawasan pantai dan itu tentu akan mengambil masa dan mudah-mudahan bila keadaan ekonomi yang jauh lebih kukuh, selesai tebatan banjir kita tak ada pilihan tetapi mesti menjurus ke arah itu," katanya di Dewan Rakyat di sini.
Anwar menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab yang ingin mengetahui pendekatan kerajaan dalam mengatasi masalah banjir tahunan yang menelan kos ratusan juta setiap tahun.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, portal Semak Mule yang digerakkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membenteras sindiket penipuan dalam talian.
"Langkah pencegahan di bawah program jenayah kesedaran awam melalui penubuhan Semak Mule berjaya, tetapi masih membimbangkan kerana sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 181,628 nombor telefon, 222,092 nombor akaun bank, dan 1,395 nama syarikat telah direkodkan dalam Semak Mule melibatkan penipuan jenayah dalam talian.
"Portal ini banyak membantu kerana sebanyak 32,066,000 carian telah dibuat, dengan 22,298,400 daripadanya memberikan jawapan positif," kata Anwar ketika menjawab soalan yang dikemukakan wakil Kulai, Suhaizan Kaiat di sini.
Dalam usaha membendung situasi tersebut, Anwar berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berjaya menamatkan lebih 118,000 talian dan menyekat akses kepada 9,474 laman web yang dikenal pasti sebagai palsu.
Sementara itu, Perdana Menteri mengucapkan takziah kepada penduduk terjejas banjir di seluruh negara.
"Saya juga mengucapkan penghargaan setinggi-tingginya kepada jentera kerajaan dan penjawat awam yang terlibat, melibatkan seramai 80,000 penjawat awam yang turun membantu di setiap lapangan, termasuk ATM (Angkatan Tentera Malaysia), PDRM, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia), RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia), JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, dan lain-lain agensi yang tidak dapat disebutkan satu persatu.
"Kerjasama padu antara seluruh jentera kerajaan Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan, serta pejabat daerah dan jajahan amat dihargai," katanya.
Jelasnya, ahli lembaga Pengarah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga terlibat secara langsung selain sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk sukarelawan turut sedia membantu kerajaan.
Selain itu, Skuad Insan MADANI turut turun padang dan akan membantu negeri terjejas banjir termasuk dalam operasi pembersihan.