Banjir: Kerajaan Negeri Sabah perhebat operasi pemindahan, penyaluran bantuan

Foto Facebook Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU, 20 FebruariKerajaan Negeri Sabah memperhebat operasi pemindahan dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir di beberapa daerah terjejas bencana itu susulan hujan berterusan sejak semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri Sabah memperhebat operasi pemindahan dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir.
  • Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan digerakkan untuk memastikan penyelamatan dan pemindahan ke PPS berjalan pantas serta teratur.
  • Ketua Menteri menggesa penduduk berwaspada, patuhi arahan pihak berkuasa dan utamakan keselamatan diri serta keluarga.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi memastikan operasi menyelamat serta pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dilakukan dengan pantas serta teratur.

“Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua penduduk terjejas. Keselamatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Datuk Seri Hajiji menggesa semua penduduk di daerah dilanda banjir serta kawasan berhampiran sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa, tidak mengambil sebarang risiko dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.

“Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, marilah kita saling mendoakan dan menghulur bantuan mengikut kemampuan. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.

Terdahulu, daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan diisytihar banjir pada pukul 6 pagi tadi berikutan hujan berterusan sejak semalam, dengan beberapa PPS telah beroperasi bagi menempatkan penduduk terjejas.

Beberapa kawasan dan taman perumahan di Sandakan turut dilanda banjir seperti Kampung Pangeran, Taman Fajar dan Taman Merpati, selain jalan utama dinaiki air dan pokok tumbang.

Lebih sepuluh keluarga terperangkap dalam banjir kilat berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan.

Mereka terdiri penduduk Kampung Sungai Batang Batu 10, Kampung Pangeran Batu 7, Peringkat Satu Rancangan Sungai Manila serta Kampung Garinono Batu 25.