KOTA BHARU, 4 Disember- Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kelantan menjadikan kesemua 13 PPS beroperasi di Pasir Mas setakat ini.
Ia melibatkan keseluruhan 6,009 penduduk daripada 1,952 keluarga.
Menurut portal info bencana banjir JKM, PPS tersebut ialah SK Kedai Tanjong yang menempatkan 38 penduduk daripada 12 keluarga.
Sementara itu, laman rasmi public info banjir JPS melaporkan, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.60 meter.
Namun menunjukkan trend menurun berbanding pukul 7 petang tadi iaitu pada 9.68 meter.
Keadaan panas sepanjang hari juga membolehkan beberapa laluan persekutuan dan negeri yang ditutup kepada pengguna jalanraya sebelum ini kembali dibuka.