KUALA LUMPUR, 29 November- Seramai 58,095 penduduk daripada 18,165 keluarga terjejas banjir di Kelantan, setakat pukul 12.46 tengah malam tadi.
Menurut InfoBencanaJKM, sebanyak 220 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri itu, setakat ini.
10 daerah terjejas akibat banjir di negeri itu.
"Ia membabitkan Pasir Mas dengan 22,156 penduduk terjejas banjir, Tumpat (8,434), Tanah Merah (4,366), Kuala Krai (5,253), Bachok (2,817), Pasir Puteh (4,943), Kota Bharu (4,855), Machang, (4395), Jeli (830) dan Gua Musang (46)," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di Terengganu pula, seramai 19,922 penduduk terjejas banjir daripada 5,646 keluarga ditempatkan di 221 PPS, setakat pukul 12.00 tengah malam tadi.
Menurut Bencana Operasi APM Terengganu, ia melibatkan tujuh daerah di negeri tersebut.
"Besut mencatat penduduk paling ramai terjejas, yang menempatkan 8,591 penduduk daripada 2,268 keluarga di 89 PPS," menurut kenyataan itu.