RANTAU PANJANG, 24 November - Jumlah penduduk terjejas banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan tidak banyak berubah.
Menurut Laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 7.00 malam tadi, 61 individu daripada 17 keluarga masih berlindung di dua PPS iaitu masing-masing 30 penduduk di SK Wakaf Raja, Pasir Puteh dan 31 lagi di SK Tok Deh, Rantau Panjang.
Sementara itu public info banjir JPS melaporkan sungai-sungai utama menunjukkan trend penurunan.
Bagaimanapun Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Kuala Besar direkodkan melepasi paras amaran iaitu masing-masing 8.99 meter dan 1.71 meter.
Sungai Kelantan di Temangan, Machang pula merekodkan bacaan 14.11 meter melepasi paras waspada.