fb fb fb fb fb

Banjir Kedah: Tiga lagi PPS ditutup

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 26 September - Tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah ditutup petang tadi.

Ini menjadikan jumlah penduduk terjejas banjir berkurangan kepada 609 orang setakat pukul 8.00 malam, berbanding 888 orang petang tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga PPS yang ditutup adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Temenggung dan Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Puteh di daerah Pendang, serta SK Tualang di daerah Pokok Sena.

Semua penduduk terjejas yang masih berada di PPS ketika ini terdiri daripada 163 keluarga di daerah Pendang.

Lapan PPS masih beroperasi di daerah tersebut iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, SMK Pendang, SMK Tanah Merah, SMK Ayer Puteh Dalam, Sekolah Model Khas Bukit Jenun, SK Haji Mohamad Ariff, SK Tanah Merah dan SK Syed Ibrahim.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 8.00 malam, paras air Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar serta Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu melebihi tahap waspada.

Trainee