fb fb fb fb fb

Banjir Kedah: Jumlah penduduk terjejas banjir kekal 207 orang

Foto Fail

ALOR SETAR, 27 September- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah kekal 207 orang, setakat pukul 8.00 malam tadi.

Mereka terdiri daripada 49 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pendang.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 188 orang daripada 42 keluarga berada di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah manakala 19 orang daripada tujuh keluarga berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang.

Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu melebihi paras bahaya iaitu 22.47 meter, setakat pukul 8.00 malam.

Bagaimanapun, sungai lain di Kedah berada pada paras normal.

Dalam perkembangan sama, hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan beberapa kawasan di Pekan Kuala Nerang di Padang Terap, Kedah dilanda banjir kilat malam ini.

Antara kawasan yang dinaiki air adalah dataran bersebelahan Pejabat TNB Kuala Nerang.

Kejadian menyebabkan beberapa buah premis perniagaan termasuk restoran dimasuki air.

Selain itu, laluan pejalan kaki menuju ke wad di Hospital Kuala Nerang turut dinaiki air.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM